cetusan

smile.laugh.cheer.calm.peace.

berkobar-kobar

Salam..hari ini 31hb Mei.. Aku akan melangkah ke Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya pada 4hb Jun ini..lebih kurang 4 hari sahaja lagi..

baru-baru ini aku ada berkunjung ke sekolahku, mengambil kesempatan yang ada sebelum bermulanya cuti sekolah untuk bertemu guru-guruku..aku sempat meluangkan masa bersama beberapa orang guru yang pernah mengajarku..bertanya khabar dan sudah tentunya ingin memohon keizinan dan restu mereka sebelum aku bermula fasa baru pembelajaran..dan tidak lupa juga untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka walau ucapan terima kasih itu sangat kecil maknanya berbanding jasa yang telah mereka taburkan..alhamdulillah, melihat mereka gembira untukku, aku semakin bersemangat untuk memburu kejayaan di tempat baruku nanti..

rakan-rakanku sudah bertolak ke tempat belajar masing-masing bermula 27hb lepas..kebanyakannya akan melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi..ada juga yang akan mula mendaftar di pusat asasi masing-masing pada tarikh yang sama..awal juga ya..memikirkan mereka yang sudah memulakan pengajian, aku pula yang semakin berkobar-kobar menunggu hari pendaftaran di CFS IIUM nanti..

aku sudah lama berehat..sudah lama bercuti daripada menelaah pelajaran, daripada stay-back belajar di sekolah, daripada bersengkang mata menyiapkan kerja sekolah, daripada pening kepala memikirkan tajuk-tajuk pelajaran yang sukar, daripada pecah otak menghafal segala macam isi pembelajaran..otak ini sudah lama dibiarkan bercuti..sudah berkarat barangkali..sudah lama dibiarkan tidak diasah dan tidak dioperasi..

sudah tentu setelah berbulan-bulan tidak melakukan semua itu, aku sudah tidak sabar untuk melakukannya semula..aku rindu sangat-sangat untuk belajar semula..aku rindu untuk menjadi orang yang sibuk lagi..rindu untuk berkejar ke sana sini demi menyiapkan sesuatu tugasan..ahhh aku sudah tidak sabar! lebih kurang seminggu lagi, itulah permulaan fasa baru yang aku nanti-nantikan..walau mungkin suasana belajar di sana jauh lebih mencabar dan sudah pastinya jauh berbeza daripada suasana belajar di sekolah, itulah yang membuatkan diri ini semakin berazam untuk melakukan yang terbaik..

penerimaan keluarga

Salam..aku telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajianku di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam program Asasi Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar..aku akan belajar di kampus Centre for Foundation Studies, International Islamic University Malaysia (CFS IIUM), Petaling Jaya..

alhamdulillah, aku terima tawaran ini dengan hati yang sangat terbuka..tawaran ini nyata lebih meyakinkan aku untuk mendalami kursus senibina dan membuka peluang untukku menjadi seorang arkitek suatu hari nanti insyaAllah..

aku menyingkap kembali kenangan sewaktu kecil di mana apabila dikehendaki menulis tentang cita-cita, selalu sahaja bertukar-tukar..tidak pernah sama..kadang-kadang hendak jadi doktor, mahu buka farmasi, jadi pensyarah, jadi penulis malahan pernah juga terfikir untuk menjadi seorang peladang buah-buahan..dan sudah tentunya, arkitek juga pernah menjadi pilihan cita-citaku..

ibukulah insan pertama yang kukhabarkan tentang tawaran ini..dan dia jugalah insan yang paling teruja dan gembira untuk mengetahui berita ini..sambil menyatakan kesyukuran dan mengucapkan tahniah, beliau memelukku sekuat hatinya..beliau nyata lebih teruja jika dibandingkan dengan diriku sendiri..aku terharu jadinya..

setiap kali bertemu dengan saudara mara, pasti aku ditanya perihal perkara tersebut.. “macam mana?” , “dapat mana” , “bila masuk?”..dan apabila aku menjawab segala soalan mereka, ternyata mereka juga gembira dan mengucapkan tahniah kepadaku..aku sangat gembira dengan penghargaan yang telah diberikan..namun, kadangkala terdetik juga di hati ini mengapa mereka begitu gembira seperti aku ini diterima masuk belajar di universiti luar negara saja..heee..

walaubagaimanapun jua, aku bersyukur mempunyai mereka sebagai keluargaku..aku sangat-sangat bersyukur..insyaAllah itulah yang membuatkan semangat ini semakin membara untuk belajar sehabis baik dan mencapai keputusan yang cemerlang..semoga ini menjadi permulaan yang baik dalam mencorak kerjayaku di masa hadapan..

Beduk Diketuk

Salam..aku selalu mengikuti segmen Beduk Diketuk dalam majalah SOLUSI..aku sangat meminati segmen ini..baru-baru ini, ayahku membelikan buku Beduk Diketuk untukku..aku gembira tidak terhingga! Terima kasih Abah! Buku Beduk Diketuk ini mengumpulkan kembali semua hasil penulisan Beduk Diketuk dalam majalah SOLUSI..inilah bukunya..



Aku gembira kerana aku berpeluang memiliki buku ini untuk dibaca..buku ini mengandungi berpuluh-puluh kisah mengenai masyarakat Islam yang harus menjadi tatapan semua terutama umat Islam yang berada di dunia akhir zaman ini..

Buku ini membawa perspektif berbeza, malahan kadangkala diluar dugaan..ia benar-benar menjana minda yang lebih terbuka namun tetap kritis dan terperinci..minda kita seperti beroperasi apabila membaca buku ini..

Buku ini memerlukan kefahaman kita sebagai pembaca untuk menghayati sesuatu kisah yang dipersembahkan..benar, ia suatu sindiran dan kritikan sosial yang sangat berkesan yang dipersembahkan hanya melalui dialog antara dua pihak..tahniah kepada penulisnya, Imam Global..

menggapai impian



Salam..sudah lama tidak kemaskini catatan mengenai diriku..

Baiklah, baru-baru ini aku telahpun ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang senibina..aku gembira untuk menerima tawaran ini..sebelum ini, aku sendiri tercari-cari apakah bidang pengajian yang sesuai dengan identiti dan minatku..apabila ibuku mencadangkan bidang senibina, aku jadi ragu-ragu..aku sendiri tidak pasti dan tidak yakin akan kemampuanku untuk mendalami bidang itu..

namun, setelah aku ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ini, aku kembali yakin dan bersemangat..mungkin benar kata ibuku selama ini..dia jugalah yang lebih mengerti dan memahami diri aku berbanding aku sebagai empunya diri..terima kasih Mama..

Besar hasrat ibuku untuk melihat aku berjaya dalam bidang pengajianku ini..katanya, “bolehlah sambung cita-cita Pak Teh..” Aku tersenyum.. “InsyaAllah..”

Pak Teh, iaitu bapa saudaraku, pernah melanjutkan pengajian dalam bidang senibina..beliau telah ditaja untuk belajar di Wisconsin, AS..pengalamannya sebagai bekas pelajar senibina terserlah lebih-lebih lagi dalam tulisan dan lukisannya..namun, beliau tidak memegang jawatan arkitek pada masa ini..beliau memilih untuk menjadi seorang pramugara..sehinggalah sekarang..

Pesanan Pak Teh kepadaku, “kalau course architecture ni, memang kat studio je la..jarang-jarang la boleh outing, party-party, gathering ke..studio dah jadi rumah kedua…”

“budak architecture pun macam doktor jugakla..duduk dengan geng dia jaa..takda masa nak join benda lain..”

“kalau tak minat nak belajar senibina, susahla..minat tu kena ada jugak..”

“banyak projek kena buat..kadang-kadang satu hari tu kat studio ja..”

fuhhh..apabila mendengar cabaran-cabaran yang bakal aku lalui, aku jadi lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik..aku gembira kerana aku ada seseorang yang boleh aku tanyakan pendapat dan pesanan untuk aku lalui pengajianku sebagai pelajar senibina..

InsyaAllah, aku akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai cita-citaku sekarang untuk menjadi seorang arkitek dan cita-citaku untuk membanggakan kedua ibubapaku..

Kata Saidina Abu Bakar R.A. ketika menceritakan suatu kisah mengenai dirinya kepada Ibnu Mas'ud :

"Aku pernah mengunjungi seorang tua di negeri Yaman. Dia rajin membaca kitab-kitab dan mengajar banyak murid. Orang tua itu berkata kepadaku,

"Aku kira tuan datang dari Tanah Haram.”

"Benar.” jawabku.

"Aku kira tuan berbangsa Quraisy?”

"Benar.” ujarku lagi.

"Dan apa yang aku lihat, tuan dan keluarga Bani Taiyim?”

"Benarlah begitu.” tambahku selanjutnya.

Orang tua itu terus menyambung, katanya, "Ada satu lagi hal yang hendak aku tanyakan dari tuan, iaitu tentang diri tuan sendiri. Apakah tak keberatan jika aku lihat perutmu?”

Maka pada ketika itu aku pun berkata, "Aku keberatan hendak memperlihatkan selagi tuan tidak nyatakan kepadaku perkara yang sebenarnya.”

Maka ujar orang tua itu, "Aku sebenarnya melihat dalam ilmuku yang benar bahawa seorang Nabi Allah akan diutus di Tanah Haram. Nabi itu akan dibantu oleh dua orang sahabatnya, yang seorang masih muda dan seorang lagi sudah separuh umur. Sahabatnya yang muda itu berani berjuang dalam segenap lapangan dan menjadi pelindungnya dalam sebarang kesusahan. Sementara yang separuh umur itu putih kulitnya dan berbadan kurus, ada tahi lalat di perutnya dan ada suatu tanda di paha kirinya. Apalah salahnya kalau tuan perlihatkan kepadaku.”

Maka sesudah dia berkata itu, aku pun membuka pakaianku lalu orang tua itu pun melihatlah tahi lalat hitam di atas bahagian pusatku seraya berkata, "Demi Tuhan yang menguasai Kaabah, tuanlah orangnya itu!”

Kemudian orang tua itu pun memberi sedikit nasihat kepadaku.

Aku tinggal di Yaman untuk beberapa waktu kerana menguruskan perniagaanku dan sebelum meninggalkan negeri itu aku sekali lagi pergi menemui orang tua tersebut untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Kemudian dia lalu bertanya, "Bolehkah tuan menyampaikan beberapa rangkap syairku?”

"Boleh sahaja.” jawabku.

Setelah itu aku pun membawa pulang syair-syair itu ke Mekah. Setibanya aku di Mekah, para pemuda bergegas datang menemuiku seraya berkata,

"Adakah engkau tahu apa yang sudah terjadi?”

Maka ujarku pula, "Apakah yang terjadi itu?”

Jawab mereka, "Si yatim Abu Talib kini mengaku menjadi Nabi! Kalaulah tidak mengingat engkau hai Abu Bakar, sudah lama kami selesaikan dia. Engkaulah satu-satunya yang kami harapkan untuk menyelesaikannya.”

Kemudian aku pun meminta mereka pulang dahulu sementara aku sendiri pergi menemui Muhammad. Setelah menemuinya, aku pun mengatakan,

"Wahai Muhammad, tuan telah mencemarkan kedudukan keluarga tuan dan aku mendapat tahu tuan terang-terang telah menyeleweng dari kepercayaan nenek moyang kita.”

Maka ujar baginda, "Bahawa aku adalah Pesuruh Allah yang diutuskan untukmu dan untuk sekalian umat!”

Aku pun bertanya kepada baginda, "Apa buktinya?”

Jawabnya, "Orang tua yang engkau temui di Yaman tempoh hari.”

Aku menambah lagi, "Orang tua yang mana satukah yang tuan maksudkan kerana ramai orang tua yang aku temui di Yaman itu?”

Baginda menyambung, "Orang tua yang mengirimkan untaian syair kepada engkau!”

Aku terkejut mendengarkannya lalu bertanya, "Siapakah yang telah memberitahu tuan, wahai sahabatku?”

Maka ujar baginda, "Malaikat yang pernah menemui Nabi-nabi sebelumku.”

Akhirnya aku berkata, "Hulurkan tangan tuan, bahawa dengan sesungguhnya aku naik saksi tiada Tuhan yang kusembah melainkan Allah, dan tuan (Muhammad) sebenarnya Pesuruh Allah.”

Demikianlah kisah indah yang meriwayatkan bagaimana Islamnya Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. Dan benarlah menurut riwayat, beliau merupakan lelaki pertama yang beriman kepada Rasulullah S.A.W.

BERSIH 3.0

Salam..baru-baru ini, negara kita khususnya arena politik, panas dengan isu BERSIH 3.0..ini bukan kali pertama demonstrasi BERSIH diadakan..namun apa yang berbezanya kali ini, BERSIH 3.0 seperti tersasar daripada matlamat sebenar ia diadakan..perhimpunan dan demonstrasi secara aman yang dijanjikan oleh pihak penganjur BERSIH namun rusuhan dan keganasan pula yang mengambil tempat..di sini, aku sekadar ingin menyuarakan pandanganku mengenai hal ini..

Menurut pandanganku, keganasan yang dicetuskan oleh para penyokong BERSIH 3.0 ini benar-benar seperti perbuatan manusia yang tidak bertamadun..jika difikir menurut akal yang rasional, penganjuran BERSIH 3.0 ini seperti tiada motif, tiada matlamat dan tiada hala tuju..ia sekadar suatu tunjuk perasaan marah dan tidak puas hati terhadap kerajaan persekutuan dengan terpekik terlolong sepanjang jalan, berteriak sesuka hati, memaki hamun kerajaan, dan memusnahkan kemudahan-kemudahan awam..

Aku berasa sangat malu dengan apa yang terjadi ini..keganasan yang tercetus ini sekadar menampakkan masyarakat kita yang pendek akal dan tidak berfikir panjang..aku fikir, dengan pembangunan pesat yang berlaku di negara kita, begitu jugalah yang akan terjadi kepada pemikiran masyarakatnya..namun, ternyata aku silap besar..kemajuan yang dicapai ternyata membuatkan orang yang bodoh bertambah ramai..aku kira, rusuhan 13 Mei suatu masa dahulu sudah cukup memberi pengajaran kepada kita..dari situ jugalah Rukun Negara kita dihasilkan..

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Bagi orang yang benar-benar mencintai negaranya serta menghayati sejarah, setiap bait ayat ini adalah sangat bermakna demi mencapai perpaduan dan keamanan dalam masyarakat..apabila keganasan BERSIH 3.0 tercetus, ternyata mereka tiada langsung perasaan sayang kepada negara malahan merekalah orang-orang yang buta dan tuli sejarah..kanak-kanak juga mengerti keperitan yang dihadapi penduduk Malaya suatu masa dahulu..inikan pula mereka yang sudah mencapai tahap usia matang yang menjadi penyokong perhimpunan tersebut..sewajarnya mereka mempunyai fikiran yang lebih matang daripada kanak-kanak..atau adakah sememangnya tahap kematangan fikiran anda lebih rendah daripada kanak-kanak?

Sekali lagi aku mengeluh..mengapa boleh jadi begini? Mereka berkata bahawa inilah hak asasi dan kebebasan bersuara/demokrasi..namun jika kebebasan itu tidak dikawal malahan digunakan untuk menghancurkan negara, mencederakan orang ramai, dan merosakkan kemudahan awam, saya berani kata yang mereka dungu..dan saya juga berani berkata bahawa ini bukanlah sesuatu yang dianggap kebebasan bersuara tetapi merupakan cubaan untuk merobek keharmonian dan kemakmuran negara serta melumpuhkan ekonomi masyarakat..jika dilihat kesan jangka panjang, ia juga mampu melumpuhkan ekonomi negara..

Ekonomi masyarakat yang terjejas teruk sudah semestinya para peniaga serta pemandu teksi..aku sangat mengerti kehidupan golongan sebegini..bapa saudaraku sendiri merupakan pemandu teksi..itu sahajalah mata pencariannya sehari-hari..hasil yang diperolehi hari itu, itulah yang digunakan untuk perbelanjaan harian keluarganya..ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang..jika tiada penumpang pada hari itu, terpaksalah mereka sekeluarga berjimat dalam menggunakan wang yang ada dalam simpanan mereka..

Jika tidak setuju dengan kerajaan sekalipun, aku rasa ada cara yang lebih baik daripada mengadakan perhimpunan untuk menyuarakan bantahan.. Perdana Menteri kita sendiri mengalu-alukan sebarang cadangan atau kritikan oleh rakyatnya melalui laman maya..bukankah itu lebih menyenangkan?

Sejujurnya, aku sememangnya tidak menyukai orang-orang yang menggunakan keganasan dan cara-cara yang tidak bermoral demi menyelesaikan masalah..tidak profesional langsung! Aku juga kasihan dengan pihak polis serta wakil media yang diserang tanpa belas kasihan..mereka memukul, menendang, menengking, melempar botol dan sebagainya terhadap pihak berkuasa..mereka tidak lain seperti kumpulan samseng dan gangster..sememangnya wajar mereka dikenakan tindakan tegas kerana telah mengancam dan menyerang pihak berkuasa, mencederakan orang awam iaitu wakil media serta merosakkan kemudahan awam..pihak polis tidak patut dipersalahkan kerana mereka telah menjalankan tugas dengan cemerlang..walaupun dimaki hamun dengan teruk, mereka tetap bersabar dalam mengawasi sekitar Dataran Merdeka tanpa melakukan apa-apa serangan balas terhadap peserta-peserta perhimpunan..apabila para peserta BERSIH 3.0 ini mula bertindak ganas, barulah pihak polis bertindak melepaskan gas pemedih mata...

Mereka tidak kenal erti syukur..negara ini sudah aman dan makmur namun mereka sendiri telah merobeknya dengan melakukan rusuhan dan keganasan ini..mana perginya akal yang rasional? Hanya akal yang dangkal serta diliputi kemarahan sahaja yang mampu bertindak ganas dan tidak bermoral..

Malu sahaja dengan pelancong asing..kehadiran mereka di sini sangat dialu-alukan kerana itu membuktikan betapa mereka kagum dengan apa yang dicapai Malaysia pada masa ini..pada masa yang sama, mereka percaya Malaysia merupakan kawasan pelancongan yang aman tenteram serta bebas daripada keganasan..namun melihatkan apa yang berlaku semasa BERSIH 3.0, sudah semestinya para pelancong asing ini telah menaruh tanggapan buruk terhadap Malaysia..dan kemungkinan Malaysia tidak lagi menjadi hab pelancongan dunia..

Amatlah buruk kesan yang dibawa oleh perhimpunan BERSIH 3.0 ini..aku berharap perkara sebegini tidak akan berulang lagi..