cetusan

smile.laugh.cheer.calm.peace.

Kata Saidina Abu Bakar R.A. ketika menceritakan suatu kisah mengenai dirinya kepada Ibnu Mas'ud :

"Aku pernah mengunjungi seorang tua di negeri Yaman. Dia rajin membaca kitab-kitab dan mengajar banyak murid. Orang tua itu berkata kepadaku,

"Aku kira tuan datang dari Tanah Haram.”

"Benar.” jawabku.

"Aku kira tuan berbangsa Quraisy?”

"Benar.” ujarku lagi.

"Dan apa yang aku lihat, tuan dan keluarga Bani Taiyim?”

"Benarlah begitu.” tambahku selanjutnya.

Orang tua itu terus menyambung, katanya, "Ada satu lagi hal yang hendak aku tanyakan dari tuan, iaitu tentang diri tuan sendiri. Apakah tak keberatan jika aku lihat perutmu?”

Maka pada ketika itu aku pun berkata, "Aku keberatan hendak memperlihatkan selagi tuan tidak nyatakan kepadaku perkara yang sebenarnya.”

Maka ujar orang tua itu, "Aku sebenarnya melihat dalam ilmuku yang benar bahawa seorang Nabi Allah akan diutus di Tanah Haram. Nabi itu akan dibantu oleh dua orang sahabatnya, yang seorang masih muda dan seorang lagi sudah separuh umur. Sahabatnya yang muda itu berani berjuang dalam segenap lapangan dan menjadi pelindungnya dalam sebarang kesusahan. Sementara yang separuh umur itu putih kulitnya dan berbadan kurus, ada tahi lalat di perutnya dan ada suatu tanda di paha kirinya. Apalah salahnya kalau tuan perlihatkan kepadaku.”

Maka sesudah dia berkata itu, aku pun membuka pakaianku lalu orang tua itu pun melihatlah tahi lalat hitam di atas bahagian pusatku seraya berkata, "Demi Tuhan yang menguasai Kaabah, tuanlah orangnya itu!”

Kemudian orang tua itu pun memberi sedikit nasihat kepadaku.

Aku tinggal di Yaman untuk beberapa waktu kerana menguruskan perniagaanku dan sebelum meninggalkan negeri itu aku sekali lagi pergi menemui orang tua tersebut untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Kemudian dia lalu bertanya, "Bolehkah tuan menyampaikan beberapa rangkap syairku?”

"Boleh sahaja.” jawabku.

Setelah itu aku pun membawa pulang syair-syair itu ke Mekah. Setibanya aku di Mekah, para pemuda bergegas datang menemuiku seraya berkata,

"Adakah engkau tahu apa yang sudah terjadi?”

Maka ujarku pula, "Apakah yang terjadi itu?”

Jawab mereka, "Si yatim Abu Talib kini mengaku menjadi Nabi! Kalaulah tidak mengingat engkau hai Abu Bakar, sudah lama kami selesaikan dia. Engkaulah satu-satunya yang kami harapkan untuk menyelesaikannya.”

Kemudian aku pun meminta mereka pulang dahulu sementara aku sendiri pergi menemui Muhammad. Setelah menemuinya, aku pun mengatakan,

"Wahai Muhammad, tuan telah mencemarkan kedudukan keluarga tuan dan aku mendapat tahu tuan terang-terang telah menyeleweng dari kepercayaan nenek moyang kita.”

Maka ujar baginda, "Bahawa aku adalah Pesuruh Allah yang diutuskan untukmu dan untuk sekalian umat!”

Aku pun bertanya kepada baginda, "Apa buktinya?”

Jawabnya, "Orang tua yang engkau temui di Yaman tempoh hari.”

Aku menambah lagi, "Orang tua yang mana satukah yang tuan maksudkan kerana ramai orang tua yang aku temui di Yaman itu?”

Baginda menyambung, "Orang tua yang mengirimkan untaian syair kepada engkau!”

Aku terkejut mendengarkannya lalu bertanya, "Siapakah yang telah memberitahu tuan, wahai sahabatku?”

Maka ujar baginda, "Malaikat yang pernah menemui Nabi-nabi sebelumku.”

Akhirnya aku berkata, "Hulurkan tangan tuan, bahawa dengan sesungguhnya aku naik saksi tiada Tuhan yang kusembah melainkan Allah, dan tuan (Muhammad) sebenarnya Pesuruh Allah.”

Demikianlah kisah indah yang meriwayatkan bagaimana Islamnya Saidina Abu Bakar Al-Siddiq. Dan benarlah menurut riwayat, beliau merupakan lelaki pertama yang beriman kepada Rasulullah S.A.W.

0 Comments:

Catat Ulasan